Mewujudkan kerjasama dalam penggunaan baja cecair buatan tempatan



Siaran Akhbar dan Foto : Agrodynamics Antarabangsa (B) Sdn. Bhd. 






BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 9 April. – Syarikat Agrodynamics Antarabangsa (B) Sdn. Bhd. (Agrodynamics) bersama Syarikat Kerjasama Kenderaan & Pengangkutan Mukim Pengkalan Batu dengan Tanggungan Berhad hari ini telah menandatangani satu perjanjian kolaborasi strategik dalam usaha memperkukuh penghasilan padi tempatan.


Kolaborasi berkenaan bertujuan untuk mewujudkan kerjasama dalam penggunaan baja cecair buatan tempatan, DynamicsGrow, sebagai salah satu pendekatan inovatif bagi meningkatkan hasil penanaman padi serta menilai keberkesanan produk berkenaan secara praktikal di lapangan.


Selain itu, kerjasama berkenaan turut merangkumi perkongsian ilmu dan kepakaran dalam pengurusan tapak sawah padi, termasuk amalam terbaik dalam penyediaan tanah, teknik pembajaan berjadual, kadar bancuhan baja yang sesuai, serta pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan hasil yang lebih konsisten dan berkualiti tinggi.


Pihak Syarikat Kerjasama Kenderaan & Pengangkutan Mukim Pengkalan Batu dengan Tanggungan Berhad menyatakan harapan untuk mencapai hasil tuaian padi yang setanding dengan pencapaian Agrodynamics, memandangkan kedua-dua tapak projek terletak di kawasan yang sama, iaitu di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limau Manis 1/Junjongan.


Majlis penandatanganan telah diwakili oleh Pengurus Am Agrodynamics, Awang Muhd. Izan Azwan bin Awang Yahya; dan disaksikan oleh Dayang Siti Rusdinah binti Haji Ruslan.


Manakala dari pihak Syarikat Kerjasama Kenderaan & Pengangkutan Mukim Pengkalan Batu dengan Tanggungan Berhad, perjanjian berkenaan telah ditandatangani oleh Pengerusi syarikat berkenaan, Awang Haji Bunal bin Tuah; dan disaksikan oleh Awang Haji Ali bin Haji Mohd Yusof.


Melalui kolaborasi berkenaan, kedua-dua pihak berharap bukan sahaja dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi, malah membuka peluang untuk perkembangan strategik dalam industri pertanian negara yang lebih moden, berdaya tahan dan mampan.

Close